Wednesday, June 2, 2010

UPM Perkenal Sistem Pendigitalan Untuk Modenkan Pertanian



Tan Sri Naib Canselor (kanan) bertanyakan mengenai taman herba kepada Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff (tengah) disaksikan oleh En. Tajuddin Abd Manap (kiri).

SERDANG, 1 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan Sistem Pendigitalan tumbuhan ubatan di Taman Konservatori Pertaniannya sebagai inisiatif untuk memodenkan bidang pertanian berimpak tinggi.

Naib Canselor UPM, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata penggunaan sistem itu ialah untuk kemudahan informasi tumbuhan ubatan Taman Konservatori Pertanian bagi rujukan masyarakat dan industri untuk menjana teknologi baru dengan menghasilkan inovasi pertanian.

“Pembangunan sistem ini merupakan projek perintis yang pertama diperkenalkan di Malaysia melibatkan taman botani di negara ini kerana taman ini menjadi tumpuan pelawat dalam dan luar negara,” katanya pada lawatan beliau ke Institut Biosains (IBS) di sini.


Tan Sri Naib Canselor mendengar penerangan daripada salah seorang penyelidik di IBS.

Beliau berkata tagline UPM ‘A World Leader in New Tropical Agriculture’ memerlukan usaha berterusan yang memfokuskan inovasi pertanian ke tahap lebih tinggi.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan yang mementingkan pertanian berteraskan teknologi serta sokongan diberikan terhadap setiap perancangan dan perlaksanaan projek berteraskan penyelidikan,” katanya.

Taman Konservatori Pertanian yang ditubuhkan pada 2006 menghimpunkan 500 spesis jenis tumbuhan herba untuk tujuan penyelidikan sains biologi.


Tan Sri Naib Canselor merasmikan program lawatan di Taman Konservatori Pertanian, IBS.

Sementara itu, Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff berkata IBS dalam proses dilengkapi dan diperakui kemudahan Makmal Bio-Keselamatan Tahap 3 (BSL-3) untuk memenuhi kriteria keperluan European Standard EN12128 dan World Health Organization (WHO)Guidelines (2004) yang akan mula beroperasi selepas diperakui pada bulan Ogos 2010.

“Pembinaan makmal itu ialah untuk penyelidikan yang melibatkan pengendalian virus pathogen kelas III seperti Virus Nipah, SARS Coronavirus, Yellow Fever Virus, Mycobacterium Tuberculosis dan Bacillus Anthracis,” katanya.

Berita ini disediakan oleh Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM. (Noor Eszereen Juferi, 03-89466013, Fotografi Ahmad Fua'ad Alwi, 03-89466199).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...